Filled Under:

Pemandu van Tahfiz tiada lesen Memandu

Pemandu van Tahfiz tiada lesen Memandu

Pemandu van Tahfiz Al Hashimi, Tualang, yang terbabit dalam kemalangan tujuh maut di KM55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, dekat Kampung Telekong, Kuala Krai, semalam, tiada lesen memandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, berkata hasil siasatan Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, bersih daripada rekod saman trafik.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu juga didapati negatif.

“Kita sudah merakam percakapan pemandu untuk melengkapkan siasatan.

“Hasil siasatan mendapati van jenis Maxus V80 (Webstar) yang dinaiki 14 mangsa dari bandar Kuala Krai menghala ke Kota Bharu memotong kereta di hadapannya.

“Selepas memotong, pemandu memasuki semula ke laluannya sebelum hilang kawalan, terbabas dan melanggar rumah di sebelah kanan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

pemberita, semalam dan hari ini melaporkan van membawa 12 pelajar tahfiz dan dua guru agama terbabas dan merempuh rumah, pada kejadian 9.30 pagi.

Kejadian itu menyebabkan tujuh pelajar Tahfiz Al Hashimi, Tualang maut iaitu lima meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua teman mereka di Hospital Kuala Krai.
Mangsa yang maut di lokasi adalah Allahyarham Mohd Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan Sarifuddin Muhammad, 14.

Dua lagi iaitu Allahyarham Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dan Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.

Tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Al-Hashimi, Tualang, pada 12.10 tengah malam tadi, manakala empat yang lain di kampung masing-masing.